Thursday, 11 August 2011

Hari Ini Dalam Sejarah!!!




RANG UNDANG-UNDANG PERSEKUTUAN TANAH MELAYU DILULUSKAN  
 
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  Rang  Undang-Undang  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  1957   telah  diluluskan.   Rang  Undang-Undang  tersebut  telah  diluluskan  dengan  sebulat  suara  oleh  Majlis  Mesyuarat  Undangan  Federal  yang  telah  memberikan  taraf  Kemerdekaan  kepada Persekutuan  Tanah  Melayu   pada  31 Ogos  1957.  Tunku  Abdul  Rahman  selaku  Ketua  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu  telah  mengemukakan  usul  agar  rang  Undang-Undang  ini  diluluskan  dengan  mendapat  sokongan  daripada  Encik  Shamsuddin  bin  Naim.  Dengan  lulusnya  Rang  Undang-Undang  ini  bererti  mulai  31 Ogos  1957,  Negeri-Negeri  Melayu  Bersekutu,  Pulau  Pinang  dan  Melaka  akan  menjadi  sebuah  Persekutuan  yang  dinamakan  Persekutuan  Tanah  Melayu.  Berikutan  daripada  itu  Perlembagaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  Merdeka  telah  mula  berkuatkuasa  dan  diguna  pakai  bermula  pada  31  Ogos  1957.  Sesungguhnya,  dengan  kelulusan  Undang-Undang  Perlembagaan  Persekutuan  ini  telah  memberi  pengiktirafan  kepada  sebuah  kerajaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  yang  berdaulat  dan  merdeka
 
 
LOJI MEMPROSES GAS PETRONAS DI KERTEH MEMULAKAN OPERASINYA YANG PERTAMA

Petroliam Nasional Berhad atau Petronas telah diperbadankan pada 17 Ogos 1974 di bawah Akta Syarikat 1965, dan pada hari ini 15 Ogos 1984 iaitu menjelang usianya 10 tahun Petronas telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila Loji Memproses Gas Petronas di Kerteh telah memulakan operasinya.   Bermula pada hari ini loji ini mula menerima bekalan gas luar pantai Terengganu untuk diproses. Peristiwa bersejarah ini yang dalam istilah teknikalnya dinamakan `gas-in' adalah melibatkan proses penyaluran gas melalui paip ke Unit Kawalan Takat Pemeluhwapan atau `dew point control unit' bagi diproses untuk kegunaan pengguna.  Upacara perasmian `gas-in' ini telah dilakukan oleh Pengarah Eksekutif Petronas Encik Murad Hashim dan dihadiri oleh para jemputan dan kakitangan Petronas sendiri. Penggunaan gas asli sebagai sumber tenaga semakin penting dalam pembangunan negara.  Sumber tenaga daripada gas asli telah dianggap sebagai sumber alternatif selain daripada sumber arang batu dan kuasa haidro.  Beberapa perusahaan berat yang mula-mula memanfaatkan sumber gas asli termasuklah HICOM dan Sabah Gas Industries.  Sementara Lembaga Letrik Negara juga telah mengambil langkah yang sama dengan menukar sumber tenaga utamanya daripada penggunaan minyak kepada penggunaan gas asli. Dengan bermulanya operasi memproses gas petronas di loji memproses di Kerteh ini membuktikan peranan yang boleh dimainkan oleh industri petroliam dalam membangunkan negara.  Selain daripada itu industri ini juga menjadi sumber alternatif tenaga yang penting kepada perindustrian dalam negara.

PERJANJIAN JOHAN VAN TWIST DENGAN NANING

Pada hari ini 15.8.1641, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Belanda dengan Naning di Melaka. Pihak Belanda diwakili oleh Gabenor Belanda di Melaka Johan Van Twist, dan pihak Naning pula diwakili oleh Tok Lela Pahlawan dan lain-lain pembesar.
Perjanjian ini mengandungi 23 fasal. Di antara kandungan perjanjian ini ialah;
  1. Bahawa pihak Naning hendaklah patuh dan menerima perintah yang dijelaskan oleh gabenor". Sekiranya orang-orang Naning, Minangkabau dan Melayu melanggar kandungan perjanjian ini iaitu engkar atau lari dari Gabenor, maka pembesar-pembesar mereka adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan mereka kepada Gabenor untuk dihukum. Sekiranya orang-orang Naning meninggal dunia tanpa meninggalkan isteri anak dan waris-waris lain maka seperti mana yang dijalankan semasa pemerintahan Portugis dahulu, sebahagian dari harta si mati iaitu akan diserahkan kepada pihak Belanda dan sebahagiannya kepada pembesar Naning.
  2. Pembesar-pembesar Naning, di kehendaki membayar cukai hasil dari tanaman padi, buah-buah dan hasil perniagaan yang mereka jalankan. Semua kapal-kapal dari Naning yang membawa daun sirih adalah dikenakan cukai.
  3. Orang-orang Naning adalah sama sekali dilarang untuk mengadakan hubungan perdagangan dengan bangsa-bangsa lain secara langsung atau tidak langsung. Mereka adalah dikehendaki membawa barang-barang dagangan mereka kebandar Melaka melalui Sungai Melaka sahaja.
  4. Gabenor dan ahli Majlis bersetuju melantik dan memberikan kuasa kepada Tok Lela Pahlawan untuk memerintah Naning dan kawasan-kawasan sekitarnya, dan Raja Merah Perpati Sauwatan Meranga Mata Kara serta Bangsa Raja sebagai pembesar-pembesar dan ahli Majlis.
Sesungguhnya perjanjian ini adalah bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi dan politik Belanda di Melaka. Di samping itu dengan perjanjian ini, Belanda mengharapkan Naning tidak menentangnya di Melaka. Juga menghalang kemungkinan hubungan Naning dengan bangsa-bangsa lain. Tetapi impian Belanda ini tidak pernah tercapai. Walaupun pihak Naning telah menandatangani perjanjian ini tetapi kemudiannya telah menentang Belanda. Orang-orang Melayu Minangkabau, Naning tidak menerima perlantikan pembesar-pembesar yang dibuat oleh Belanda. Pada tahun 1643 Naning dengan sokongan dari Rembau telah bangun menentang Belanda yang dianggap tidak menurut adat resam Naning. Ini menyebabkan Belanda bertindak menghantar utusan yang diketuai oleh Gabenor Melaka sendiri. Namun begitu penentangan masih berterusan. Pada 1644 sekali lagi Belanda terpaksa berhadapan dengan orang-orang Naning apabila cuba membebaskan rakyat mereka yang ditawan oleh Naning. Pasukan ini telah diserang hendap dan semua askar dibunuh. Sebagai tindak balas, Belanda telah menghantar sepasukan tenteranya pada tahun 1645. Tetapi pasukan ini hanya berjaya membakar sebahagian kecil pondok-pondok. Mereka gagal meneruskan serangan mereka ke atas Naning. Pada tahun 1646 sekali lagi pasukan tentera dihantar ke Naning tetapi gagal juga untuk mencapai penyelesaian. Orang-orang Naning tetap kukuh dan bersatu dalam sikap dan tindakannya meneruskan penentangan terhadap usaha Belanda untuk menguasai daerahnya.

MESYUARAT PERTAMA MAJLIS NEGARA (PARTI NEGARA)

Pada hari ini 15.8.1954, Parti Negara yang diketuai oleh Dato' Onn telah mengadakan mesyuarat Majlis Negara yang pertama bertempat di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Mesyuarat itu diadakan bagi tujuan mencari ketetapan yang akan menguatkan lagi sokongan kepada penyata pilihanraya Persekutuan. Ketetapan-ketetapan itu akan dimajukan oleh Ketua Parti di mesyuarat Majlis Undangan Persekutuan. Ketetapan-ketetapan yang telah dibuat di Majlis Mesyuarat itu mengandungi kehendak-kehendak supaya bilangan ahli Majlis Undangan yang telah dipilih itu diperbanyak pada masa-masa akan datang dan juga memelihara hak kaum yang kecil bilangannya di dalam negeri ini. Bagi memperkuatkan lagi ketetapan ini Dato' Onn menyatakan oleh kerana parti tidak berdasarkan perkauman maka calon-calon yang dimajukan untuk menduduki Majlis undangan dalam pilihanraya akan dibuka kepada semua kaum yang difikirkan layak mewakili kawasannya dan mampu pula berbuat kebajikan kepada pengundi. Beliau juga berharap Majlis Undangan akan menambah bilangan perwakilan dari semasa ke semasa. Setakat ini jumlah 4 orang ahli Majlis Undangan dan perwakilan dari setiap negeri dianggap tidak mencukupi. Maka itu perkara ini perlu dipertimbangkan semula setelah diadakan pilihanraya yang pertama dan setelah Kerajaan berparti wujud di negara ini. Sesungguhnya ketetapan-ketetapan yang dikemukakan di mesyuarat pertama Majlis Negara ini amat sesuai memandangkan negara kita mempunyai masyarakat berbilang kaum yang perlukan perpaduan untuk menjamin keamanan negara.

NEW ZEALAND TAWAR TEMPAT UNTUK PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA

Pada hari ini 15.8.1984, New Zealand telah menawarkan tempat belajar dalam bidang teknologi makanan dan pertanian di 2 buah Institut pengajian tingginya iaitu di University Massey dan Kolej Pertanian Lincoln. Tawaran itu telah dikemukakan oleh Perdana Menteri New Zealand, En. David Lange dalam rundingannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad di pejabatnya di Bangunan Parlimen New Zealand. Rundingan itu dibuat sempena lawatan rasmi 3 hari Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ke New Zealand. Lawatan itu bertujuan untuk membincangkan beberapa rundingan yang meliputi soal perdagangan, Antartika,masalah Kampuchea, persefahaman dan hal-hal lain yang ada kaitan dengan hubungan dua hala. Di samping itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad meminta New Zealand supaya menimbangkan bagi membuka peluang pasaran yang lebih luas kepada barangan dari Malaysia. Dalam lawatan yang turut disertai oleh Menteri Luar Tengku Ahmad Rithauddeen dan Menteri Pelajaran, Datuk Abdullah Badawi, Perdana Menteri sempat mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di New Zealand. Dalam pertemuan itu beliau sempat memberikan penjelasan mengenai pembangunan dan dasar-dasar kerajaan. Sesungguhnya, tawaran tempat belajar untuk pelajar-pelajar Malaysia oleh New Zealand, pada hari ini dalam tahun 1984, menunjukkan langkah positif kerajaan dan inisiatif Perdana Menteri dalam mewujudkan semangat kerjasama dengan negara-negara Pasifik Selatan. Usaha itu telah menimbulkan satu fokus baru dan merupakan satu perubahan yang penting.


1 comment: